Sunday, October 19, 2008

Mahasiswa Mahu Pilihan Raya Kampus Telus

BANGI 17 Okt. - Lebih 100 mahasiswa daripada empat universiti mengadakan demonstrasi selepas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melancarkan Karnival Kerjaya Kebangsaan 2008 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Mereka terdiri daripada penuntut empat buah universiti iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM).

Sambil memegang kain rentang yang bertulis Mahasiswa Menuntut Pilihan Raya Kampus Yang Telus dan Adil dan Membantah E-Voting, kumpulan pelajar berkenaan turut bersorak mahukan pilihan raya kampus yang bebas.

Kumpulan pelajar yang menggelarkan diri mereka Solidariti Mahasiswa Malaysia berdiri di hadapan Dewan Canselor Tun Abdul Razak UKM dan mula bersorak apabila Mohamed Khaled berjalan masuk ke dalam dewan untuk meninjau pameran karnival kerjaya dari khemah pelancaran.

Turut mengiringi Mohamed Khaled ketika itu ialah Naib Canselor UKM, Datuk Dr. Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin.

Suasana menjadi agak tegang apabila pengawal UKM menghalang mereka daripada mara menghampiri pintu masuk dewan tempat pameran kerjaya berlangsung.

Namun kehadiran sebuah kereta peronda polis yang meminta semua pihak bersurai dan bertenang dalam masa lebih kurang 15 minit selepas demonstrasi berkenaan bermula berjaya mengawal keadaan. Difahamkan tiada pelajar yang ditahan.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, Hafizuddin Abirerah yang merupakan seorang mahasiswa UM berkata, pihaknya membantah pilihan raya kampus kali ini yang tidak dijalankan serentak di semua universiti seluruh negara.

"Kami juga menolak sistem pengundian secara elektronik iaitu e-voting kerana ia tidak menjamin ketelusan.

"Demonstrasi ini tidak didalangi mana-mana pihak luar," katanya.

Sumber oleh Utusan Malaysia.

Pindaan AUKU Bukan Untuk Wujudkan Dua Kelas Pelajar

SINTOK 17 Okt. - Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 bukan bertujuan untuk mewujudkan dua kelas pelajar yang boleh dan tidak boleh berpolitik, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin.

Beliau berkata, sebaliknya, pindaan tersebut secara prinsip umumnya tidak akan membenarkan pelajar untuk berpolitik.

Bagaimanapun, katanya, jika terdapat kalangan ahli politik yang berminat meneruskan pengajian, mereka akan dibenarkan memohon untuk diberikan pengecualian bagi meneruskan karier politik masing-masing selain menjadi pelajar.

"Ini bermaksud pengecualian diberi berdasarkan kepada permohonan dan bukannya secara automatik. Kebiasaannya mereka ini adalah terdiri daripada kalangan pelajar pascasiswazah yang lebih matang dalam urusan hal ehwal politik negara.

"Ini adalah bagi menjamin hak ahli politik supaya mendapat pendidikan yang sama dengan bukan ahli politik dan sudah pasti cadangan ini adalah selaras dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan iaitu kesamarataan dan Perkara 12 iaitu hak kepada pendidikan," jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Bersama Persatuan Staf Akademik Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Datuk Ir. Radin Umar Radin Sohadi.

Mohamed Khaled menjelaskan mengenai isu yang dibangkitkan dalam resolusi seminar anjuran Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) berkaitan pindaan AUKU khususnya cadangan Seksyen 15 (4) pindaan tersebut yang didakwa akan mewujudkan dua kelas pelajar iaitu satu boleh berpolitik dan satu lagi tidak boleh.

Beliau menegaskan, pengecualian kepada pelajar yang berstatus ahli politik adalah wajar bagi meningkatkan bilangan pelajar pascasiswazah di universiti awam. Pengecualian itu juga, katanya lagi, akan mendorong ahli politik untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah sekali gus dapat meningkatkan mutu perdebatan mereka di Parlimen.

Rang Undang-undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2008 telah diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Julai lalu dan telah dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 16 Julai lalu.

Bacaan kali kedua dan ketiga dijangka berlangsung pada April atau Mei tahun depan.

Sumber oleh Utusan Malaysia.

Saturday, October 18, 2008

Biar AUKU Dipinda, Siswa Tetap Terjajah

Pengumuman Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa pemimpin parti politik, termasuk pembangkang boleh memberi ceramah kepada mahasiswa di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) selepas pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) disambut dengan hati berbelah-bagi dan berhati-hati oleh mahasiswa.

Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) memuji langkah berani kabinet membudayakan suasana keintelektualan di universiti melalui pindaan akta tersebut.

Mahasiswa sudah lama kekeringan idea daripada kedua-dua belah pihak, kerajaan dan pembangkang. Mahasiswa hanya memperolehi penerangan sesuatu isu melalui internet atau secara sembunyi-sembunyi menghadiri penerangan pembangkang.

Langkah kerajaan ini akan memberikan satu suasana demokrasi kepada para mahasiswa yang diibaratkan sebagai jantung pemikiran bangsa Malaysia akan datang.

GMUKM juga melihat pindaan AUKU sebagai satu manifestasi keterbukaan dasar perdana menteri dan juga mengelakkan mahasiswa daripada mendengar pandangan sebelah pihak sahaja.

Juga, dengan adanya kebebasan media, ia akan membentuk mahasiswa sebagai golongan tidak berkepentingan atau kumpulan bebas dan bukannya menjadi jurucakap kepada parti politik tertentu.

Segala isu terkini dan semasa akan dihadam dan dikaji oleh mahasiswa tanpa halangan atau ketakutan untuk membicarakannya.

Oleh yang demikian, mahasiswa perlu menggunakan ruang kebebasan yang diberikan oleh kerajaan hari ini dengan bijaksana dan profesional. Janganlah hanya pemimpin kerajaan sahaja dijemput ke program di kampus sedangkan pemimpin pembangkang dipinggirkan - dan sewajarnya begitulah juga sebaliknya, jangan hanya pemimpin pembangkang diundang.

GMUKM melihat pindaan akta itu dibuat bagi memberi mahasiswa dan universiti persekitaran lebih kondusif serta menyiapkan diri mahasiswa untuk memimpin negara kelak.

Benarlah bahawa jiwa muda mahasiswa akan memberontak sekiranya mahasiswa ditekan dan dihalang hak asasinya oleh mana-mana pemerintah seperti yang berlaku di Indonesia.

Justeru, pindaan ini boleh memberikan nafas baru kepada semua IPTA dalam merealisasikan matlamat menaikkan pemeringkatan universiti masing-masing di mata dunia.

Di samping itu, pengumuman menteri berkenaan bahawa melalui pindaan itu, mahasiswa yang melakukan kesalahan mengikut AUKU tidak lagi akan dihadapkan ke mahkamah dan akan hanya dihadapkan di tribunal universiti.

Jika dahulu kesalahan mengikut AUKU boleh diambil tindakan mahkamah tetapi dengan pindaan ini semua penguatkuasaan kesalahan mahasiswa akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada universiti, kata Mohamed Khaled.

Tetapi, mahasiswa sebenarnya tertakluk juga pada undang-undang negara. Jika mahasiswa didapati melakukan rasuah dan penyelewengan, maka Akta Pencegahan Rasuah 1997 akan terpakai kepada mereka.

GMUKM juga menyambut baik pindaan AUKU yang membolehkan pelajar yang dikenakan tindakan disiplin, termasuk digantung oleh pihak universiti, mengambil peperiksaan. Jelas bahawa Seksyen 15 (D)(1) akta yang kini akan secara automatik tidak terpakai.

Sebelum pindaan, seseorang mahasiswa yang dituduh atas satu kesalahan akan digantung daripada menjadi mahasiswa sehinggalah keputusan prosiding jenayah itu diselesaikan. Maknanya jika tujuh tahun masih lagi tidak diselesaikan kesnya, maka pelajar tersebut akan terus menganggur dan hilang status kemahasiswaan.

Hal inilah yang berlaku kepada tujuh pelajar yang diseret ke mahkamah selepas membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kira-kira tujuh tahun lalu.

Bagaimanapun pindaan akta masih tidak membenarkan mahasiswa menganggotai atau terbabit dengan mana-mana organisasi atau parti politik. Ia mungkin untuk menjadikan mahasiswa bersifat non-partisan tetapi bagi GMUKM, mahasiswa wajar juga didedahkan dengan organisasi politik.

Maknanya, mahasiswa wajar diberikan hak berpolitik sepenuhnya seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Pindaan itu nanti bagaimanapun menyediakan satu alternatif - mahasiswa dibenarkan menganggotai persatuan atau pertubuhan tidak bertunjangkan politik.

Aktivis mahasiswa sedang ternanti-nantikan perbahasan di Dewan Rakyat bukan ini agar suasana demokrasi - walaupun tidak sepenuhnya - dapat dihirup di IPTA.

GMUKM berkeyakinan penuh bahawa pindaan AUKU ini akan tetap disokong oleh 222 ahli parlimen kita termasuklah Pakatan Rakyat walaupun ada peruntukan AUKU yang masih mendiskriminasi mahasiswa.

Jelas, mahasiswa masih terjajah dengan pindaan AUKU ini dan ia dilakukan secara kosmetik dalam suasana kerajaan BN sudah tidak diterima umum terutamanya oleh mahasiswa.


Hazman Abdullah merupakan seorang jurucakap Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM)

Kembalikan Roh Demokrasi Pilihan Raya Kampus

Pilihan raya kampus (PRK) sesi 2008/2009 ini bakal mengulangi sejarah ketika mana penulis masih menuntut di menara gading suatu ketika dahulu.

Apa yang dimaksudkan penulis adalah hanya merujuk kepada tarikhnya yang tidak serentak.

Namun dari segi pelaksanaan menggunakan sistem online atau lebih dikenali dengan sistem pengundian e-voting, tiadalah pula pengalaman yang boleh dikongsi bersama adik-adik pengundi mahasiswa sekarang ini.

Malah, suatu ketika dahulu kami menguruskan sendiri segala peralatan kempen bagi calon kami termasuklah poster, kain rentang, handbill selain risalah yang dibuat bagi memastikan kejayaan calon yang di'pasarkan' agar matlamat untuk menerajui kerajaan mahasiswa di kampus tercapai.

Kesempatan yang diambil kami sewaktu tarikh PRK tidak serentak ialah mengadakan kunjungan ke kampus yang selesai menjalani pembuangan undi bagi menganalisis situasi, serta keputusan kampus tersebut sebagai persediaan untuk menghadapi PRK di tempat kami.

Pada masa yang sama, kami turut mengambil 'semangat' dan 'pesanan' dari sahabat-sahabat dari kampus tersebut sebagai azimat penerus perjuangan, bagi mendaulatkan suara dan hak mahasiswa.

Malah, penulis juga mahu berkongsi ilmu yang perlu difahami oleh mana-mana mahasiswa yang melibatkan diri dengan PRK iaitu mendalami peraturan pilihan raya yang dikeluarkan oleh pihak universiti.

Meskipun ada yang beranggapan bahawa tuntutan atau bantahan mengenainya tidak akan diendahkan oleh pihak suruhanjaya PRK, ianya tidak sewajarnya terus diketepikan.

Inilah medannya untuk mahasiswa menyelami situasi pilihan raya kampus di luar sana.

PRK harus dikembalikan rohnya dalam bentuk yang demokrasi, tidak dibayangi oleh tradisi tetapi kebenaran.

Pejuang demokrasi kampus tidak perlu takut dengan taktik kotor oleh mana-mana kumpulan, walaupun ianya dilaksanakan secara serentak.

Suatu ketika dahulu, kumpulan pro pembangkang (kini dikenali sebagai pro mahasiswa) menang besar di kampus seluruh negara dengan pelaksanaan sistem pilihan raya secara tidak serentak.

Lalu, sekumpulan think-tank KPT dilantik kemudiannya menumpaskan mereka dengan taktik rakus dan kotor dengan mengadakan PRK secara serentak.

Justeru, mahasiswa..anda tidak perlu kaget dengan perubahan kecil ini. harus punya persediaan setiap masa agar tidak mudah melatah dan lemah dengan situasi yang dicorakkan oleh sistem.

Serah Laporan Penyelewengan PRK Kepada DSAI Di Parlimen

Perjuangan membabitkan masa. Masa yang berlalu telah menjadi suatu sejarah. Dan, kerana itulah sejarah menjadi suatu bab yang amat mustahak dalam lembaran perjuangan siswa itu sendiri. Tetapi, berapa ramaikah dalam kalangan kita yang sesekali menoleh ke belakang dan membuka kitab sejarah?

Ada waktu-waktunya, masa-masanya yang tertentu, perjuangan seolah-olahnya mati. Jadi dengan sebab tiada tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai satu perjuangan, justeru masa yang berlalu itu tidak boleh diiktiraf sebagai sejarah perjuangan pula.

Tapi, setiap perjuangan apa pun pastinya ada ketua. Pada setiap zaman, mesti ada kepala yang berani menongkah arus pemikiran. Dari satu sudut, jika mereka cuma mengucapkan hal-hal yang tidak bersifat idea baru, maka hal tersebut tidak menjadi perbualan sangat. Pemimpin sejati adalah peneraju yang mampu meneroka daerah idea yang baru.

Yang ada sekarang ini adalah MPP dan mereka bukanlah pemimpin atau ketua.

Idealisme ada kaitan yang kuat dengan idea. Idealisme ada kaitan dengan pengertian ideal dan mahasiswa memang begitu. Selalunya serba ideal kerana mereka bagaikan bayi yang baru lahir dari syurga. Di syurga, segala-galanya serba lengkap dan sempurna.

Tiada salahnya jika mahasiswa itu menjadi terlalu ideal kerana sifat itu memang kurniaan dari Tuhan. Mereka baru datang dari syurga dan telah menerima kejutan budaya di dunia yang kini dihuni bersama penghuni neraka dan penghuni syurga.

Dunia yang asalnya berwajah syurga, kini sobek sedikit wajahnya kerana dirosakkan oleh ahli-ahli neraka di dunia hari ini. Perang-perang terjadi kerana wujudnya ahli-ahli syurga dan neraka di dunia. Maka, di akhirat kelak mereka terpisah dan perang akan tamat.

Idealisme pelajar, generasi baru, bayi-bayi yang suci bersih dari syurga telah mengalami kejutan budaya di dunia hari ini. Mereka tidak pantas melihat ketidakadilan berlaku serta jiwa mereka langsung bangkit mempersoal bagaimana ketidakadilan itu boleh terjadi.

Ini perkara biasa. Mereka masih suci dan belum tahu apa-apa tentang kejahatan ahli-ahli neraka di dunia ini. Jadi, selagi mana mereka wujud bersama di dunia, perang akan tetap berlaku. Salah satu perang yang tidak menjatuhkan darah ialah perang universiti.

Tapi kita bukannya mahu berbual mengenai ahli neraka. Sengaja kita menulis begini agar setidak-tidaknya kita faham mengenai beberapa perkara. Kenapa pelajar selalu mencipta chaos, pergeseran, percekcokan terhadap HEP, KPT dan kerajaan?

Sebenarnya, tidak tepat kalau kita katakan mereka bercita-cita mencipta pergeseran. Dan, yang sebenarnya berlaku adalah, naluri dan fitrah mereka yang inginkan kedamaian, tidak suka penipuan itulah yang merangsang agar pergeseran itu terjadi secara semulajadi.

Semua ini ada kaitan dengan ketidakadilan. Kezaliman itu sifat ahli-ahli neraka. Zalim itu adalah ramuan Auku dan resipi dalam membebalkan lagi pemikiran mereka dan akhirnya, budaya bebal, bodoh dan penakut itu menjadi kekal sebagai satu sifat turun-temurun.

Di mana laporan penyelewengan PRK?

Baiklah, kita kembali kepada masa-masa dahulu yang telah dirangkum maknanya sebagai sejarah. Antara sekian banyak demonstrasi, memorandum demi memorandum yang telah dikeluarkan, ada suatu perkara yang barangkali telah dilupakan mahasiswa hari ini.

Sekitar 2006 atau 2007, telah keluar suatu laporan mengenai tindakan dan amalan HEP di universiti yang mengugut dan mengancam calon-calon pro pelajar daripada bertanding di dalam pilihan raya kampus. Soalan seterusnya, di manakah laporan itu sekarang?

Mungkin generasi baru terlupa kerana tidak tahu sejarahnya dan lupa menyemaknya berulangkali. Laporan itu merangkumi beberapa buah universiti, UKM, UPM, UiTM dan sebagainya. Mungkin, ada juga laporan itu tercicir dan tidak menyebut gangguan itu pada universiti lain. Ini mungkin hal teknikal dan itu tidak bermakna, gangguan itu tiada.

Sepatutnya pada setiap tahun, laporan mengenai gangguan HEP, KPT ke atas calon-calon itu ditulis dan terus dihantar kepada Pengerusi Dewan Rakyat, Ketua Pembangkang serta salinan lainnya kepada Perdana Menteri, wakil KPT di Parlimen dan MP-MP lainnya.

Tapi sejauh yang saya tahu, hal itu cuma dihantar kepada KPT sahaja dan matlamat untuk dibacakan laporan penyelewengan itu dalam Dewan Rakyat tidak kesampaian. Bagaimanapun, hal penyelewengan itu tetap sampai kepada Suhakam.

Dalam perbualan peribadi antara saya dengan Dato' Hamdan Adnan dahulu, ketika beliau masih menjadi pesuruhjaya Suhakam, ternyata memang ada kesungguhan dan usaha dari Suhakam sebagai pemantau PRK. Tapi, HEP tidak mengizinkannya berlaku.

Soalan seterusnya, adakah pelajar masih mahu Suhakam menjadi pemantau PRK?

Suhakam juga, melalui usaha Dato' Hamdan, itu telah memanggil para pegawai universiti seperti TNC untuk hadir menjawab terhadap laporan penyelewengan yang telah diberikan oleh golongan mahasiswa tersebut.

"Tapi, mereka cuma hantar pegawai-pegawai bawahan sahaja yang tidak boleh membuat sebarang keputusan dan memberikan maklumbalas terhadap laporan penyelewengan itu," katanya. Tindakan ini, tentunya, seperti kata beliau, telah mempersendakan Suhakam.

Pegawai rendah itu hanya ketawa dan tersengih-sengih, memperolok-olokkan Suhakam ketika diminta menjawab beberapa isu yang dibangkitkan beliau ke atas laporan itu.

Tapi, kisah tercorot seperti ini, berapa ramaikah pelajar yang pernah mengetahuinya?

Soalan terakhir, bolehkah saudara mencari laporan penyelewengan PRK terdahulu dan beri kepada Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk dibacakannya di dalam Parlimen dalam tempoh terdekat ini?

Serah laporan penyelewengan PRK kepada DSAI

Dalam kenyataannya yang lalu, DSAI berkata kepada saya bahawa ketika beliau menjadi Menteri Pelajaran, beliau telah merangka satu draf berhubung akta pelajaran yang baru.

"Semua draf itu saya serahkan kepada beberapa pertubuhan bukan kerajaan untuk dibahas supaya dapat diambil maklumbalas mengenainya.

"Draf itu jika boleh dibawa ke Parlimen, maka ia akan membatalkan segala akta pelajaran yang lalu termasuklah Auku," demikian kata beliau.

"Jadi, di mana draf akta itu sekarang?" tanya saya kembali.

"Ketika polis menceroboh rumah kerana mahu tahan saya dalam ISA, segala-galanya dah hilang," kata beliau. "Mereka dah ambil semua catatan lama itu."

Syahadan, dengar kata, baru-baru ini beliau berbahas mengenai Belanjawan 2009 selama 5 jam. Panjang perbahasannya itu, penuhlah dengan sindiran, demikian laporan RTM dan sedikitpun tidak disiarkan ucapan perbahasan Anwar itu di tv. Saya jadi kaciwa.

Esoknya Berita Harian melaporkan ramai MP Parlimen BN keluar masuk Parlimen ketika Anwar sedang berucap. Seolah-olahnya mereka bosan mendengar perbahasan beliau. Tak apalah, nak buat macam mana? Suratkhabar itu macam mak bapak depa yang punya.

Arakian, kalaulah beliau mampu berbahas 5 jam dalam isu belanjawan itu, jangan-jangan beliau dapat bertahan hingga 10 jam kot bagi membincangkan hal usahanya membatalkan Auku dengan memperkenalkan undang-undang pendidikan yang baru itu?

Mungkin, dengan berbekalkan laporan itu juga, beliau boleh menyindir Mat Hussin, Idris Haron dan ramai lagi para pegawai HEP di universiti. Jika nasib baik, RTM akan siarkan ucapan itu jika 'dendam' Shabery Cheek akibat kalah debat tempoh hari telah kebah!

15 Syawal, 4:28 petang
Sekolah Pemikiran Kg Baru.

Gelombang Mahasiswa Menerjah UKM

BANGI, 17 Oktober 2008 : Kira-kira 500 orang mahasiswa yang terdiri daripada mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Univeriti Putra Malaysia dan beberapa universiti di sekitar lembah Klang telah berhimpun untuk menyatakan desakan kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaleed Nordin di Karnival Kerjaya Kebangsaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Perhimpunan Ops-Desak ini sebenarnya adalah berpunca daripada kelalaian dan kelekaan Kementrian Pengajian Tinggi dalam menangani isu-isu dan masalah mahasiswa khususnya mengenai Pilihanraya Kampus yang sebelum ini telah diperlekeh dan dipandang sepi oleh pihak terbabit. Pelbagai penganiayaan dan kzaliman yang dilakukan oleh urusetia pilihanraya kampus sepanjang pilihanraya kampus yang lalu.

Setelah 5 tahun menunggu jawapan daripada pihak KPT, hari ini mahasiswa sudah tidak mampu lagi menahan penganiayan dan kezaliman KPT, telah mengambil langkah turun beramai-ramai untuk mendesak Khaleed Nordin memberi jawapan terhadap tuntutan mahasiswa yang sebelum ini berkumpul menuntut perkara yang sama di Bangunan Kementrian Pengajian Tinggi pada 10 Oktober yang lalu.

Antara tuntutan penting yg dikemukakan ialah pelaksanaan e-voting di semua kampus, penambaikan dalam perjalanan dan sistem PRK yang korup dan berat sebelah serta beberapa tuntutan kampus-kampus lain berkaitan penyelewengan demokrasi di Universiti masing-masing. Secara faktanya, memorandum demi meorandum telah dihantar selama 5 tahun oleh mahasiswa dan selama itulah memorandum dibakul sampahkan oleh pihak Kementrian.

Mahasiswa telah mengambil ketetapan untuk berjumpa sendiri dengan Khaleed Nordin melalui wakil mereka, Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN) yang berjaya menyerahkan sendiri memorandum secara serahan tangan dan bersua muka dengan menteri yang tersebut.

Namun malangnya, belum sempat pertemuan itu berakhir, Pengawal Keselamatan UKM yang diluar batasan profesional sebagai pengawal keselamatan, telah menghalang Khaleed Nordin berjumpa dengan mahasiswa dengan bertindak kasar dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada mahasiswa yang datang pada hari itu.

Turut menjadi mangsa ialah para media yang ingin mendapatkan maklumat sebenar telah dikasari dan dihalang membuat liputan tentang perhimpunan itu.

Menurut Kazman Noordin, tindakan ini disifatkan sebagai tindakan pengecut dan cuba menghalang kebebasan media untuk melaporkan perkara sebenar berlaku pada perhimpunan itu.

" Jelas bahawa dalang sebenar kepada kekecohan ini adalah pegawai keselamatan itu sendiri yang cuba bertindak di luar batasan bagi menghalang perhimpunan mahasiswa daripada tersebar kepada pengetahuan umum,” katanya yang bertindak sebagai pengerusi majlis himpunan tersebut.

Dipetik lagi oleh Kazman yang menyatakan bahawa sememangnya situasi di UKM sentiasa berlaku kelumpuhan hak mahasiswa untuk bersuara dan ini dapat dilihat dalam isu rampasan laptop pada Mac lalu dan juga kes tangkapan tanpa bicara terhadap mahasiswa oleh pengawal keselamatan terbabit.

Pada himpunan itu, para mahasiswa turut menyatakan bantahan melalui laungan " Hidup hidup mahasiswa ” kepada Khaleed Nordin yang berjalan melalui perhimpunan tersebut. Mereka turut memberikan bunga putih kepada menteri yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal mahasiswa sebagai lambang bahawa kesucian mahasiswa tidak boleh dikotori dengan politik kotor pemerintah.

Kira- kira jam 4.02 petang, mahasiswa yang berkumpul seawal jam 2.30 petang telah menyediakan sudut pidato dengan menyeru agar Datuk Seri Khaled Nordin untuk membuat kenyataan media tentang tuntutan mahasiswa tersebut.

Menurut kenyataan wakil Ahli Majlis Perwakilan Pelajar, Saudara Hilman Nordin menyatakan bahawa Datuk Khaled Nordin setuju untuk membuat kenyataan rasmi pada hari isnin ini berkaitan dengan tuntutan mahasiswa. " Memandangkan pejabat sudah ditutup sekarang, maka kenyataan rasmi akan dibuat pada hari isnin ini,’’ demikian kenyataan Wakil Majlis Perwakilan Pelajar Pro Mahasiswa itu kepada hadirin yang hadir.

Himpunan mahasiswa yang menuntut Khaled Nordin untuk memberikan kenyataan rasmi tentang isu tuntutan mahasiswa telah membuatkan pegawai keselamatan UKM bertindak ganas dengan memukul mahasiswa yang hadir pada perhimpunan itu. Seorang pimpinan mahasiswa, Ahmad Farid telah dipukul dan ditumbuk dengan separuh mati oleh pegawai keselamatan yang bertindak mengikut emosi. Satu laporan polis di Balai Polis Kajang telah dibuat terhadap pegawai keselamatan yang dikenali sebagai Shahrom dan juga Mejar Housaini, ketua pegawai keselamatan UKM. Menurut seorang saksi, Mejar Housaini dilihat bertindak mencakar dan menumbuk Saudara Farid dan laporan perubatan telah dibuat menunjukan bahawa terdapatnya kesan lebam dan calar di tubuh mangsa.

Dalam satu kejadian tolak-menolak antara 50 orang pengawal keselamatan dengan mahasiswa, terdapat seorang mahasiswi yang terjatuh dan tercedera akibat kekasaran tersebut. Kehadiran ramai pengawal keselamatan UKM dilihat kononnya cuba meleraikan perhimpunan tetapi sebenarnya, telah menimbulkan kekecohan dengan tindakan mereka yang ganas untuk menghalang mahasiswa daripada menyatakan suara demokrasi mereka kepada menteri bertanggungjawab itu.

Menurut Setiausaha Kerja Gabungan Mahasiswa UKM, Hishamuddin Abdullah, perhimpunan mahasiswa tidak boleh dihalang dengan kasar oleh pegawai keselamatan. " Perkara 10 Perlembagaan kita memberikan lesen kepada mahassiswa untuk berhimpun dan mengeluarkan pendapat. Jelas bahawa tindakan mahasiswa itu berdasarkan undang-undang, bukannya emosi ’’.

" Isunya di sini ialah bukannya perhimpunan mahasiswa, tetapi adalah berkaitan dengan tuntutan memorandum yang menuntut satu pilihanraya kampus yang adil dan berdemokrasi kepada mahasiswa, golongan yang akan memimpin negara ini pada suatu hari nanti,” tegasnya.

Perhimpunan itu berakhir pada jam 5.30 petang. Perhimpunan berjaya bersurai dengan aman walaupun kehadiran pihak polis dan trak black mania dilihat cuba memberi tekanan kepada mahasiswa yang berkumpul. Laungan keramat "Student power’’ telah bergema di hadapan Dewan Tun Abdul Razak (DECTAR) dan berjaya menarik perhatian media dan pengunjung yang hadir pada Karnival Kerjaya peringkat kebangsaan itu.

Friday, October 17, 2008

Tidak Timbul Soal Pro Aspirasi @ Pro Siswa Dalam Pilihan Raya Kampus

Perwakilan Pelajar sesebuah Institusi Pengajian Tinggi yang dipilih menerusi pilihan raya kampus hendaklahlah mewakili kepentingan pelajar universiti berkenaan dan tidak seharusnya memperjuangkan agenda sesebuah parti politik.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Idris Haron berkata, tidak timbul soal pelabelan perwakilan sebagai yang pro aspirasi atau pro siswa.

“Perwakilan itu mesti mewakili kepentingan pelajar, bukan mana-mana parti politik, perwakilan yang dipilih pelajar itu juga tidak seharusnya memperjuangkan agenda politik semata-mata sebaliknya memperjuangkan apa yang disuarakan pelajar, “ katanya ketika minta mengulas mengenai pilihan raya kampus yang akan bermula tidak lama lagi.

Idris berkata, pihak kerajaan akan menerima sesiapa sahaja wakil kepada pelajar yang mewakili suara pelajar dan bukan suara pelajar yang mewakili mana-mana parti politik di negara ini.

“Tiada pro aspirasi dan pro siswa. Kementerian akan mendengar dan mengiktiraf suara semua perwakilan yang mewakili pelajar dan bukan perwakilan yang mewakili parti-parti politik termasuk Umno,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Penuntut Universiti Antarabangsa 2008 di Universiti Malaya di sini hari ini.

Sumber oleh Utusan Malaysia.

UKM Anjur Karnival Kerjaya Kebangsaan 2008

Tahun ini, Universiti Kebangsaan Malaysia Malaysia (UKM) menjadi penganjur bagi Karnival Kerjaya Kebangsaan 2008 yang akan berlangsung pada 17-19 Oktober 2008 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) dan Dewan Gemilang.

Karnival pada tahun ini menyediakan pelbagai aktiviti kepada mereka yang mencari peluang pekerjaan. Antara aktiviti untuk karnival tiga hari ini adalah pameran kerjaya oleh syarikat-syarikat terkemuka negara, temuduga terbuka dan temuduga berjadual dengan syarikat berdaftar, bengkel keusahawanan, ceramah dan seminar kerjaya, ceramah motivasi oleh badan korporat dan kerajaan terkemuka, analisis psikometrik, inventori EQ serta peluang melanjutkan pengajian dari pelbagai kolej dan universiti awam dan swasta. Terdapat lebih 8000 peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh lebih 100 syarikat.

Antara syarikat yang berdaftar sebagai peserta yang juga merangkap penaja karnival adalah Sime, Shell, CIMB, Huawei, Masterskill, SME Bank, MCIS Zurich, Astro, Perfisio, Roots Asia Pacific, KTM dan Bix Connexion. Syarikat-syarikat lain yang telah berdaftar adalah Petronas, ExxonMobil, Intel, Dell, IBM, Scope International, Bank Negara, Bank Rakyat, Scomi, MISC, Skali, AXA, Khazanah Nasional, HSBC serta pelbagai MNC dan GLC lain. Turut menyertai karnival ini adalah Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), MERCY dan pelbagai universiti awam dan swasta.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, karnival tahun ini adalah hasil inisiatif dari Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia untuk menyediakan maklumat dan peluang kerjaya kepada para pelajar serta masyarakat awam. Karnival ini berfungsi sebagai medium untuk mendapatkan informasi tentang set kemahiran yang diperlukan dalam pasaran kerjaya. Seminar kerjaya yang dianjurkan memberi penekanan kepada isu-isu seperti kemahiran berkomunikasi, penyediaan resume, kemahiran temuduga serta pelbagai isu lain yang penting. Seminar-seminar diadakan bertujuan meningkatkan peluang pasaran kerjaya di Malaysia. Bengkel keusahawanan oleh SME Bank dan Johor Corporation adalah terbuka kepada pelajar dan orang awam yang ingin membina perniagaan sendiri. Ceramah motivasi pula memberi ruang kepada para penceramah jemputan yang terdiri daripada tokoh-tokoh sektor awam dan korporat untuk berkongsi pengalaman peribadi mereka bagi memberi inspirasi dan motivasi kepada audien.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.ukm.my/ncc2008.

Wednesday, October 15, 2008

National Career Carnival (NCC) 2008

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) will host the third National Career Carnival that is to be held at the Dewan Canselor Tun Abdul Razak, from 17th -19th October 2008. The National Career Carnival 2008 (NCC2008) is a government initiative, with the co-operation of the private/corporate sectors.

A collaborative effort between the Ministry of Higher Education, institutions of higher learning and various government agencies, local universities take turns to host the carnival to assist the Ministry in their endeavour to help graduates find jobs and match them with potential employers and job recruiters. In addition to providing an opportunity to meet potential employees, the NCC2008 will also provide information on graduate and postgraduate education programmes in universities and colleges.

Sejarah Pilihan Raya Kampus (PRK)

1970/71
· Penubuhan PMUKM
· Islam dijadikan landasan pergerakan PMUKM, maka pemimpin-pemimpin PMUKM dilantik dari kalangan yang cenderung kepada Islam
· PMUKM berada dibawah pengaruh PKPIM
· Ramli Haji Ibrahim menjadi pengasas dan Pengerusi Jawatankuasa Penaja PMUKM.

1971/72
· Yang Di Pertua PMUKM sesi 1971/72 ialah Ramli Haji Ibrahim.

1973/74
· Yang Di Pertua PMUKM sesi 1973/74 ialah Abdul Halim Arshad.
· Ada pihak yang tidak dapat menerima tindakan-tindakan PMUKM yang dikuasai oleh kumpulan Islamik
· Antara yang kurang disenagi oleh pihak-pihak tertentu ialah tindakan PMUKM mencabar kepentingan “establishment” secara langsung seperti menentang perlantikan Datuk Abdullah Ayub sebagai Naib Canselor UKM yang baru dan krisis dengan MB Selangor Datuk Harun Idris ekoran isu pembalakan haram di tapak kampus UKM di Bangi.

1974/75
· Yang Di Pertua PMUKM sesi 1974/75 ialah Abdul Rahman Rukaini. Manakala Timbalan Yang Di Pertua PMUKM sesi 1974/75 ialah Hassanuddin Yeop.
· PMUKM terpaksa dibubarkan berikutan arahan kerajaan apabila berkuatkuasanya pindaan Akta Universiti pada tahun 1975 selepas demonstrasi Baling pada bulan Disember 1974

1975/76
· PMUKM dipulihkan semula beberapa bulan kemudian apabila diadakan pilihanraya MPP sesi 1975/76 mengikut Akta Universiti 1975.
· Pergolakan politik mahasiswa UKM menjadi semakin jelas apabila terdapat dua kumpulan iaitu kumpulan yang hendak menerima dan menentang pilihanraya MPP pertama pada tahun 1975 bagi memenuhi kehendak Akta Universiti yang baru dipinda. Mahasiswa berbelah bagi menyebabkan peratus keluar mengundi tidak sampai angka 50%.

1976/77
· Pada pihanraya 1976/77, PMUKM dibenarkan wujud kembali dengan wajah baru tetapi dipimpin “orang lama”.
· Yang Di Pertua PMUKM sesi 1976/77 ialah Fuad Hassan. Timbalan Yang Di Pertua PMUKM sesi 1976/77 ialah Abu Bakar Chik.

1978/79
· Yang Di Pertua PMUKM sesi 1978/79 ialah Abdul Rahman Sidek.
· Sesi ini merupakan sesi terakhir di dalam sejarah politik kampus UKM yang mana penyerahan pucuk pimpinan PMUKM dijalankan dalam suasana harmoni dan penuh persefahaman.

1979/80
· Muncul satu bentuk baru dalam kancah politik kampus di UKM dengan wujudnya sistem politik kepartian.
· Terdapat dua kelompok mahasiswa yang berlainan ideology iaitu :
1. Angkatan Tindakan Mahasiswa (ATMA) : Kumpulan mahasiswa yang cenderung kepada Islam dan memperjuangkan dasar-dasar Islam
2. Tindakan Siswa Bersatu (TSB) : Kumpulan mahasiswa Melayu yang memperjuangkan dasar kebangsaan (nasionalisma).
· Yang Di Pertua PMUKM sesi 1979/80 ialah Fadhullah Shuaib, Timbalan Yang Di Pertua ialah Jaafar Abd Rahaman dan Setiausaha Agong ialah Abd. Malik Awang Kechil.

1980/81
· TSB buat pertama kalinya menguasai PMUKM. Mahasiswa pada ketika itu tidak dapat menentukan siapa yang benar di antara kedua-dua pihak akibat daripada pelbagai isu di samping terdapatnya perasaan ingin menukar “selera”. Kesemua calon ATMA peringkat umum termasuk Jaafar Abd Rahaman dan Abd. Malik Awang Kechil tewas kecuali Fadhullah Shuaib.
· Kekalahan tipis ini juga mungkin disebabkan penyertaan calon Bebas seramai 4 orang.
· Yang Di Pertua PMUKM sesi 1980/81 ialah Rais Zainuddin. Timbalan Yang Di Pertua ialah Abdul Rahman Bakar.

1981/82
· ATMA telah berjaya kembali menguasai PMUKM.
· Kekalahan TSB sungguh mengejutkan pendokong-pendokong kuat TSB yang telah bekerja keras mengekalkan pengaruh mereka.
· Pergolakan dalaman yang berlaku dalam ATMA telah dipergunakan oleh TSB tetapi tidak berjaya untuk menumbangkan seterunya.

1982/83
· Pada 9 Julai 1982, di saat-saat pengundian Pilihanraya Kampus 1982/83, kumpulan ATMA dan TSB telah bertikam lidah secara terbuka. Kedua-dua belah pihak telah mengadakan perarakan secara haram pada waktu malam dan bertembung di sekitar Kamsis A. Peristiwa berlarutan dari pukul 10.30 malam hingga 12.30 pagi. Peristiwa ini berakhir secara aman setelah campur tangan semua pihak. Ekoran peristiwa tersebut, pentadbiran universiti menangguhkan pilihanraya kampus pada sesi tersebut dari 10 Julai 1982 kepada 19 September 1982. Tiga pindaan dinyatakan oleh Naib Canselor :
1. Slogan / manifesto yang digunakan bersama oleh dua / lebih calon tidak dibenarkan
2. Seseorang calon tidak boleh menyokong @ mencadang calon lain
3. Kempen secara berkumpulan tidak dibenarkan
· Walaupun ATMA masih berjaya menguasai PMUKM, tetapi mereka juga menghadapi krisis dalaman antara pemimpin-pemimpin mereka. Arah dan corak perjuangan mereka seolah-olah sudah tidak sealiran, hingga melahirkan satu kumpulan pro-ABIM dan satu kumpulan pro perjuangan PAS. Krisis dalaman ini selaras dengan perpecahan yang berlaku di dalam pergerakan ABIM, ekoran kemasukan Anwar Ibrahim, presiden ABIM ke dalam UMNO pada tahun 1982.
· Konsert Sudirman anjuran Persatuan Mahasiswa Fakulti Ekonomi mendapat bantahan kumpulan mahasiswa Islam
1983/84
· Setiausaha Agong PMUKM sesi 1983/84 ialah Wan Ismail Wan Jusoh.

1984/85
· Kumpulan Pro-ABIM dan kumpulan pro perjuangan PAS telah bersetuju meletakkan calon dari kumpulan masing-masing atas tiket ATMA.
· Setelah ATMA memenangi pilihanraya kampus, keadaan menjadi tegang apabila berlaku pertikaian antara kumpulan pro-ABIM dan kumpulan pro-PAS di dalam menentukan jawatan-jawatan utama PMUKM. Wan Ismail Wan Jusoh (dikatakan pro-PAS) yang sepatutnya menerajui PMUKM telah menarik diri. Kepimpinan PMUKM dikuasai oleh kumpulan pro-ABIM sepenuhnya setelah kumpulan pro-PAS menarik diri.
· Yang Di Pertua PMUKM sesi 1984/85 ialah Mustafa Kamil Ayub. Setiausaha Agong ialah Kamsani Mahful.
· Krisis kepimpinan yang berpanjangan menyebabkan 5 orang Ahli MPP yang pro-PAS telah meletak jawatan kerana tidak berpuas hati dengan pucuk kepimpinan PMUKM. Mereka ialah Wan Ismail Wan Jusoh (MPP Umum), Hussein Mohd Yunus (MPP Umum), Zulkarnain Yusof (MPP FPI), Alwi Mohd Ali (MPP FSH) dan Mohd Razain Mohd Noor (MPP PPK).
· Mengikut pengkaji politik kampus, krisis kepimpinan ini mungkin dapat dielakkan jika kedua-dua pihak bertolak ansur dengan tidak menerima tekanan dari pihak luar dan mengikut proses biasa.

1985/86
· Kumpulan pro-ABIM dan kumpulan pro-PAS tidak dapat berkompromi lagi biarpun atas perpaduan kumpulan Islam. Masing-masing mempunyai fahaman dan konsep berbeza dalam soal pelaksanaan Islam.
· Kedua-dua kumpulan telah meletakkan calon dari kumpulan masing-masing di dalam pilihanraya tersebut menyebabkan berlakunya pertandingan tiga penjuru buat pertama kalinya dalam sejarah politik kampus UKM. Calon ATMA yang pro-ABIM bertanding di bawah “bendera biru” manakala yang pro-PAS bertanding di bawah “bendera hijau”.
· Ternyata pertandingan tiga penjuru ini telah menguntungkan TSB. TSB telah berjaya memenangi pilihanraya kampus kali ini. Kesemua calon umum dari kumpulan Islam sama ada pro-ABIM atau pro-PAS tewas, kecuali Kamsani Mahful.
· Beberapa faktor yang mempengaruhi kemenangan TSB ialah :
1. Faktor perpecahan di kalangan kumpulan Islam yang membawa kepada perpecahan undi
2. Sokongan penuh oleh pelajar bukan Islam (India dan Cina) kepada TSB. TSB menjanjikan jawatan Penolong Setiausaha Agong dan Bendahari PMUKM kepada Cina jika mereka menyokong TSB.
3. Peranan HEP melalui tindakan menarik balik tanggungjawab pengendalian Minggu Suaikenal daripada PMUKM yang dikuasai oleh kumpulan Islam. HEP mengenepikan mahasiswa yang dikenalpasti penyokong kumpulan Islam dan melantik sebahagian besar Jawatankuasa Orientasi (JKO) dari kalangan TSB untuk mencari pengaruh di kalangan mahasiswa baru.

1986/87
· Ekoran perpecahan kumpulan Islam sebelum ini, maka muncullah Islam Penyelamat Ummah (IPU). IPU telah berjaya memenangi Pilihanraya Kampus 1986/87.
· Yang Di Pertua PMUKM sesi 1986/87 ialah Abdul Fatah Zakaria (FPI)
· ATMA tidak meletakkan calon untuk bertanding di peringkat MPP kecuali di beberapa kamsis sahaja.
· TSB tewas kerana sikap perkauman dan isu pesta Konvo ke-14 yang didakwa berlaku penyelewengan kewangan menyebabkan rugi besar.
· Isu perkauman telah menakutkan mahasiswa Cina untuk memberi undi sekali lagi kepada TSB. Chinese Community Committee (CCC) yang mewakili kaum Cina dikatakan “berpatah arang” dengan TSB. Sebagai protesnya, mereka tidak keluar mengundi dan ada yang mengundi IPU.
· Peristiwa Tanglung 1986 tidak dapat dilupakan oleh mahasiswa Cina dan amat mengecewakan mereka di mana tanglung-tanglung mereka dikoyak-koyak setelah berlaku pergelutan dengan kumpulan nasionalis Melayu TSB. Menurut ceritanya, pelajar-pelajar yang didalangi CCC telah membuat perarakan membantah ucapan presiden UMNO di persidangan UMNO tahun itu. Dua orang kuat CCC Lim Kwe Syu dan Yu Kee Su (Bendahari PMUKM 1985/86) turut berucap dalam perarakan tersebut. Kumpulan TSB bertindakbalas membantah perarakan mahasiswa Cina itu dan kemudiannya mendesak CCC dibubarkan. TSB begitu curiga dengan CCC yang begitu berpengaruh di kalangan mahasiswa Cina. Mohd Nor Hakim yang memangku jawatan Yang Di Pertua PMUKM sesi 1985/86 telah mengumumkan pembubaran CCC.
(CCC pada asalnya adalah sebuah badan perundingan antara kumpulan Islam dengan mahasiswa Cina yang dibentuk ketika kumpulan Islam menerajui PMUKM sebelum itu).
· CCC telah memberi sokongan kepada IPU dalam pilihanraya kampus sesi 1986/87.

1987/88
· IPU memenangi Pilihanraya Kampus sesi 1987/88
· Yang Di Pertua PMUKM sesi 1987/88 ialah Idris Ahmad (FPI)

1988/89
· IPU memenangi Pilihanraya Kampus sesi 1988/89
· Yang Di Pertua PMUKM sesi 1988/89 ialah Wan Ali Wan Jusoh. Setiausaha Agong ialah Zulkifli Abd Ghani.
· Pada 5 Mac 1989, IPU dan kumpulan-kumpulan Islam telah bertindak membantah program “Pentas Varia” yang mengundang artis-artis terkenal di Kamsis Rahim Kajai. Pada peringkat permulaannya, pihak pentadbiran universiti telah bersetuju menarik balik kebenaran tersebut setelah mendapat bantahan dari 15 buah persatuan mahasiswa di UKM di samping mendapat tahu mahasiswa/i Islam akan mengadakan demonstrasi sekirannya program tersebut diteruskan. Walaubagaimanapun, Pentas Varia tetap diteruskan pada Malam Israk Mikraj di Dewan Kuliah Utama (DKU) menyebabkan tidak kurang dari 3000 mahasiswa mengadakan demonstrasi membantah program tersebut. Akhirnya, program tersebut terpaksa dibatalkan.
· Berlakunya “Demonstrasi Bermotosikal” kerana mambantah peraturan lalulintas yang baru dikuatkuasakan oleh UKM.
· PMUKM sesi 1988/89 telah menganjurkan Kongres Mahasiswa Peringkat Kebangsaan. Saudara Anwar Ibrahim, Menteri Pendidikan ketika itu telah di serang bertubi-tubi oleh mahasiswa selepas merasmikan program ini.

1989/90
· TSB dapat menguasai PMUKM disebabkan berlakunya sekali lagi perpecahan dalaman mahasiswa pro-Islam antara IPU dan ATMA. TSB hanya menang simple majority setelah berjaya menguasai 27 dari 48 kerusi, yakni kurang 5 kerusi dari jumlah 2/3.
· Yang Di Pertua PMUKM sesi 1989/90 ialah Ahmad Shamsuddin Ramli.
· ATMA yang merasakan kedudukan mereka sudah stabil mencuba nasib dengan meletakkan calon diperingkat umum. Sekali lagi berlaku pertandingan 3 penjuru diperingkat kerusi umum. Berdasarkan undi yang dipungut dalam pilihanraya kampus tersebut, TSB tidak akan menguasai PMUKM sekiranya ATMA tidak bertanding.
· Kekalahan IPU dalam pilihanraya kampus sesi 1989/90 juga disebabkan pengundi-pengundi Cina telah berpaling semula menyokong TSB kerana dijanjikan jawatan-jawatan penting dalam PMUKM. TSB telah menarik sokongan Cina dengan menjajikan jawatan Naib Yang Di Pertua, Penolong Setiausaha Agong dan Penolong Ketua Hal Ehwal Wanita (BHEW) dan lain-lain jawatan dalam kabinet PMUKM. Tawaran ini begitu menarik kepada mahasiswa Cina kerana pertama kalinya dalam sejarah PMUKM seorang mahasiswa Cina dilantik sebagai Naib Yang Dipertua PMUKM.
· Sejarah bermula apabila Ng Huai Yuen dilantik sebagai Naib Yang Di Pertua PMUKM sesi 1989/90, Tan Yew Chong sebagai Penolong Setiausaha Agong dan Tan Siew Chong sebagai Penolong Ketua BHEW PMUKM sesi 1989/90.
· Sungguhpun begitu, mahasiswa Cina merasa tertipu juga kerana diberikan jawatan tinggi tetapi peranan mereka tidak seberapa menyebabkan mereka tidak berpuas hati berbanding ketika IPU dan ATMA memerintah dahulu di mana mereka tetap menerima layanan yang adil walaupun tidak mendapat habuan kerusi tertinggi exco.
· Disebabkan tidak cukup 2/3 kerusi yang dimenagi TSB, mereka gagal memanggil mesyuarat yang cukup korum untuk meluluskan Ucapan Dasar PMUKM.
· Ahli-ahli MPP IPU telah membuat bantahan bertulis kepada TNC (HEP) berhubung dengan perjalanan mesyuarat MPP yang tidak sah menyebabkan perlantikan juga tidak sah. Namun, Timbalan Pendaftar HEP, Hj Salleh Yusof telah menjawab kembali bantahan tersebut.
· Kelemahan TSB memimpin PMUKM menjadi semakin ketara bilamana berlaku krisis kepimpinan yang tidak dapat dibendung lagi. Naib Yang Di Pertua PMUKM, Sdr Imran Hadzli Abd. Hamid telah meletakkan jawatannya ekoran krisis tersebut. Sementara beberapa exco lain dikatakan mengambil sikap menyepikan diri.
· TSB dikatakan tidak mampu memimpin PMUKM setelah gagal melaksanakan pelbagai program yang perlu dilaksanakan. Ucapan Dasar PMUKM sesi 1989/90, Ahmad Shamsuddin Ramli pun tidak disahkan oleh MPP kerana IPU mendakwa sebahagian besar Ucapan Dasar tersebut sama dan ciplak Ucapan Dasar Yang Di Pertua PMUKM sesi sebelumnya (PMUKM di bawah IPU).
· Selain itu, beberapa pemimpin IPU yang menguasai pelbagai persatuan di UKM telah menghantar beberapa memorandum bantahan kepada HEP berhubung salah laku pemimpin-pemimpin TSB yang menguasai PMUKM.
· Pada 14 Februari 1990, PMUKM-TSB telah mengajurkan satu program yang dinamakan “Malam Mesra Abadi” sempena sambutan “Valentine Day” bagi meraikan pasangan-pasangan yang sedang bercinta. Desakan IPU berjaya melembutkan hati Timbalan Naib Canselor (HEP) untuk membatalkan program tersebut.

1990/91
· IPU kembali menguasai PMUKM. Mahasiswa yang cenderung kepada Islam memberikan sokongan padu kepada IPU setelah mereka mendapati kehadiran ATMA hanya untuk kacau daun sahaja.

1991/92
· Ketiadaan majoriti 22-22 antara IPU dan TSB dalam Pilihanraya Kampus 1991/92 menyebabkan 4 undi wakil rakyat bebas menjadi penentu.
· Kesemua MPP IPU yang telah memenangi jawatan Yang Di Pertua, Naib Yang Di Pertua, Bendahari dan lain-lain dalam kabinet PMUKM 1991/92 telah meletakkan jawatan beramai-ramai dan mengambil sikap tidak mahu dicalonkan sebarang jawatan dalam pemilihan semula menyebabkan keadaan kelam kabut dan TSB berjaya memegang semua jawatan dalam PMUKM.
· Kabinet PMUKM yang dibentuk oleh TSB telah menjadi kabinet second class setelah calon-calon utama mengundur diri. Malah ada yang mendakwa berlakunya politik wang dengan membeli undi oleh pihak tertentu bagi menjatuhkan IPU yang berkuasa sebelum itu. Pegawai-pegawai HEP telah campurtangan dalam proses pemilihan kabinet PMUKM. Pegawai HEP yang terlibat telah pergi ke kampus UKMS di Sabah dengan membawa 6 ahli MPP dan menaja kabinet campuran sebagi usaha awal untuk menaikkan semula TSB memimpin PMUKM. Sikap HEP yang memihak kepada sesuatu kumpulan ini memburukkan lagi keadaan politik kampus di UKM.
· IPU telah mempunyai kesempatan bertindak balas dengan mengemukakan undi tidak percaya kepada kabinet minoriti TSB semasa pembentangan Ucapan Dasar Yang Dipertua PMUKM, Razali Ibrahim. Tindakan mereka berjaya kerana TSB yang hanya mempunyai 18 ahli sahaja (kerana 4 ahlinya di kampus Sabah tidak hadir) dan dengan ini kabinet PMUKM pimpinan Razali Ibrahim terbubar dengan sendirinya apabila usul tersebut lulus (22 undi bersetuju serta tiada undi membantah). Namun, HEP enggan megiktiraf undi tidak percaya tersebut serta membenarkan TSB menerajui PMUKM.
· Yang Di Pertua PMUKM sesi 1991/92 ialah Razali Ibrahim.

1992/93
· Sekali lagi tiada majoriti mencukupi sama ada TSB (22 kerusi) dan IPU (21 kerusi) dengan bebas memenangi 5 kerusi. Keadaan ini menyebabkan TSB ataupun IPU tidak boleh membentuk kabinet secara bersendirian.
· Terdapat sekali lagi usaha untuk membentuk kerajaan campuran TSB-IPU kerana TSB hanya memenangi 2 sahaja kerusi di peringkat kampus berbanding dengan IPU 7 kerusi bagi mengelakkan krisis politik berpanjangan seperti sesi lepas.
· Tetapi dengan bantuan HEP, TSB sekali lagi berjaya membentuk kabinet PMUKM walaupun dibantah oleh IPU kerana memanggil mesyuarat dengan tidak menurut peraturan yang ditetapkan.
· Dalam mesyuarat yang dibantah oleh IPU itu, TSB sekali lagi melantik Razali Ibrahim sebagai Yang Di Pertua PMUKM.
· Krisis berterusan apabila Setiausaha Agong, Saiful Adli Jamian didakwa gagal mendapat status sebagai pelajar berdaftar yang menjadi syarat untuk mengambil bahagian dalam kegiatan mahasiswa di kampus. Ini memberikan kesempatan kepada IPU membantah dan mendakwa urusan PMUKM tidak sah.

1993/94
· TSB mendapat kemenangan lebih besar dan terus kekal menguasai PMUKM.
· Yang di Pertua PMUKM sesi 1993/94 ialah Amiruddin Hassan.
· IPU membina imej baru dengan mula menggunakan slogan “Membina Angkatan Mahasiswa Penggerak Ummah” (MAMPU).

1994/95
· TSB diberi kepercayaan untuk menerajui PMUKM bagi kali keempat berturut-turut.
.
1995/96
· TSB masih diberi kepercayaan menguasai PMUKM.

1996/97
· IPU-MAMPU menguasai PMUKM
· Yang Di Pertua PMUKM sesi 196/97 ialah sdr Wan Azlan Wan Adnan daripada FPP.
· Pesta Konvo anjuran PMUKM member keuntungan yang besar. Ketua Pengarah Pesta Konvo tersebut ialah Sdr Nor MaizudinMohd Nor.
· Motto PMUKM iaitu Mahasiswa Membina Peradaban Ummah mula diperkenalkan secara rasmi.

1997/98
· IPU-MAMPU menguasai PMUKM
· Yang Di Pertua PMUKM sesi 1997/98 ialah sdr Muhyidddin Jaffar daripada FPP.

1998/99
· IPU-MAMPU menguasai PMUKM
· Yang Di Pertua PMUKM sesi 1998/99 ialah sdr Faizal Mahamud.
· Banyak perubahan dilaksanakan seperti kewujudan BAKSIS, BALKIS dan BAIT.
· Pilihanraya Kamsis dimansuhkan dan digantikan dengan pemilihan oleh pihak pengetua dan pentadbiran kamsis.
· Presiden PMUKM dengan beraninya membuat kenyataan akhbar supaya Perdana Menteri, Mahathir meletakkan jawatan ekoran konspirasi peringkat tertinggi yang mengakibatkan pemecatan Anwar Ibrahim.

1999/00
· IPU-MAMPU menguasai PMUKM
· Yang Di Pertua PMUKM sesi 1999/2000 ialah sdr Iqbal Jusoh @ Nordin.
· Isu Permit Kenderaan RM200 berjaya ditangani dengan baik.

2000/01
· IPU-MAMPU menguasai PMUKM. Kemenangan besar IPU-MAMPU 51 - 0 ke atas TSB di dalam Pilihanraya Kampus UKM.
· Yang Di Pertua PMUKM sesi 2000/01 ialah sdr Mahadi Sukarno.
· Peraturan pilihanraya yang baru mula diperkenalkan.

2001/02
· IPU-MAMPU menguasai PMUKM
· Yang Di Pertua PMUKM sesi 2001/02 ialah Abdullah Abdul Karim.

2002/03
· IPU-MAMPU masih menguasai PMUKM buat kali ketujuh berturut-turut.
· Yang Di Pertua PMUKM sesi 2002/03 ialah Haris Arimudin.
· Dalam Pilihanraya Kampus sesi 2002/03, TSB telah membina imej baru dengan menggunakan nama ASPIRASI. Namun percubaan dengan menggunakan imej baru ini tidak berjaya. Daripada 32 kerusi yang dipertandingkan, Aspirasi kalah di semua kerusi umum dan hanya menang 6 kerusi fakulti.

2003/04
· ASPIRASI menguasai PMUKM. Percubaan TSB menggunakan nama ASPIRASI buat kali kedua akhirnya berjaya.

2004/05
· ASPIRASI menguasai PMUKM.
· Presiden PMUKM sesi 2004/05 ialah Sdr Hafidzan.

2005/06
· Munculnya Gabungan Mahasiswa yang menggabungkan beberapa front dan mahasiswa/i UKM dalam Pilihanraya Kampus UKM.
· ASPIRASI masih menguasai PMUKM. ASPIRASI menang 28 kerusi daripada 33 kerusi yang dipertandingkan manakala Gabungan Mahasiswa menang 5 kerusi.
· Presiden PMUKM sesi 2005/06 ialah Sdr Mohd Anas Ali.

2006/07
· ASPIRASI masih menguasai PMUKM. ASPIRASI menang 29 kerusi daripada 34 kerusi yang dipertandingkan manakala Gabungan Mahasiswa menang 5 kerusi.
· Presiden PMUKM sesi 2006/07 ialah Sdr Mazuwan Murad.

2007/08
· ASPIRASI masih menguasai PMUKM. ASPIRASI menang 30 kerusi daripada 34 kerusi yang dipertandingkan manakala Gabungan Mahasiswa menang 4 kerusi.
· Presiden PMUKM sesi 2007/08 ialah Mohd Zaid Mohd Idrus.
· Banyak isu Kebajikan Mahasiswa dan isu Universiti mejadi persoalan antaranya ; UKM tidak berjaya sebagai universiti APEX, kenaikan harga yuran pelajar, yuran-yuran tambahan yang terpaksa dibayar oleh mahasiswa/i iaitu yuran elektrik dan pertambahan Yuran Aktiviti Kolej sebanyak RM20 daripada RM80 kepada RM100, yuran yang tidak munasabah iaitu Yuran Khas Alumni yang terpaksa dibayar oleh mahasiswa/i baru peringkat ijazah sarjana muda, isu keselamatan siswi, isu integriti dan kualiti kepimpinan tertinggi mahasiswa, isu kecurian motosikal dan kecurian di blok-blok asrama.
· Gabungan Mahasiswa berwajah baru dengan pelancaran logo baru dan keanggotaan terkini. Ia bertindak sebagai pakatan mahasiswa/i yang memperjuangkan politik nilai, bukan hanya sempit kepada poltik perkauman dan poltik kepartian. Nilai yang diperjuangkan ialah Falsafah Universiti, kebajikan semua mahasiswa/i dan masyarakat UKM tanpa mengira batasan agama dan kaum serta memperjuangkan nilai keintelektualan dan keilmuan UKM.

Kampus Kami

Kampus Induk Universiti Kebangsaan Malaysia terletak di Bangi, kira-kira 35 km ke selatan Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia. Terletak di sebuah lembah dikelilingi dengan persekitaran menghijau, bangunan di kampus ini direkabentuk supaya selaras dengan lanskap hutan hijau yang mengelilinginya.

Kampus ini merupakan gabungan seni bina dan seni taman yang sesuai dan selaras dengan konsep "kampus dalam taman". Kampus ini direncanakan dengan pusat perkhidmatan seperti perpustakaan, pusat pelajar, pasar raya, bank dan kedai buku terletak di tengah-tengah. Lingkungan akademik dihubungi dengan perpustakaan dengan pusat akademik berdasarkan satu siri jalan kaki yang berbumbung.

Bangunan utama yang tersergam di kampus UKM ialah dewan utama, yang dinamakan Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) dan Masjid Universiti yang indah gemilang. Terletak bersetentang di pintu masuk utama universiti, DECTAR mencerminkan peranan universiti sebagai puncak kecemerlangan akademik, sementara Masjid Universiti mengingatkan penghuni universiti tentang peranan mereka sebagai hamba Allah. Kedua-dua bangunan ini menjadi bukti keteguhan universiti terhadap falsafah yang dianuti: "Paduan antara Iman kepada Allah dengan ILMU yang bermanfaat serta gabungan antara teori dengan amal adalah dasar utama bagi perkembangan ilmu, proses pembinaan masyarakat terpelajar dan pembangunan Universiti".

Fakulti Perubatan, Fakulti Pergigian dan Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu terletak di kampus Kuala Lumpur. Pada tahun 1997, UKM mempunyai sebuah hospital pengajarannya yang tersendiri yang dinamakan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) yang terletak di Cheras.

Sejarah Kami

Gagasan untuk menubuhkan sebuah universiti kebangsaan pertama kalinya dibangkitkan seawal tahun-tahun 1920an. Gagasan awal ini dibuat oleh Abd. Kadir Adabi, yang mencadangkan penubuhan sebuah universiti yang dapat memenuhi keperluan pendidikan orang Melayu dan pembangunan Bahasa Melayu (kini bahasa Malaysia).

Lewat tahun-tahun 30an, idea ini terus berkembang dan tersemat dalam sanubari orang Melayu, khususnya semasa zaman penjajahan. Namun begitu, ia diperjuangkan secara terbuka dan aktif pada tahun-tahun 40an dan 50an apabila Persekutuan Kesatuan Guru Melayu Semenanjung mendesak agar Bahasa Melayu mendapat tempat sewajarnya di negara ini dan mendesak agar tahap sekolah-sekolah Melayu ditingkatkan supaya para pelajarnya dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

Pada tahun-tahun 60an, permintaan ini diulangi dan perbincangan terbuka diadakan. Sekumpulan intelek Melayu telah berkumpul untuk membincangkan gagasan bagi sebuah universiti kebangsaan, bukan sahaja bagi keperluan orang Melayu tetapi keperluan rakyat Malaysia. Idea ini diterima dengan baik oleh semua pihak. Sejak itu, permintaan rakyat mula mendapat perhatian sewajarnya.

Pada tahun 1969, sebuah jawatankuasa penaja telah ditubuhkan dan menerbitkan sebuah laporan yang mengesyorkan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia. Laporan itu membentuk asas universiti ini. Kebanyakan daripada syor diterima sebagai garis panduan dalam penubuhan rasmi universiti ini pada 18 Mei 1970.

Maka, kelahiran universiti ini merupakan peristiwa yang sungguh bersejarah. Ia dibina atas keringat dan pemikiran rakyat yang mempunyai visi tentang keperluan universiti ini. Kejayaan yang universiti ini telah capai sejak dari awal penubuhannya membuktikan kejayaan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di peringkat universiti dan ini tidak dapat disanggah oleh sesiapapun.

Cokmar Kami

Cokmar ini telah dianugerahkan di Balairong Seri pada 16 Jun 1973 oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dengan perkenan Majlis Raja-Raja sebagai simbol Universiti Kebangsaan Malaysia kepada YB Datuk Hussein Onn yang menyerahkannya kepada Naib Canselor Universiti, Datuk Dr Ariffin Hj Ngah Marzuki pada Majlis Konvokesyen di Parlimen pada 23 Jun 1973.

Cokmar ini digunakan semasa majlis-majlis tertentu sahaja, seperti konvokesyen dan pelantikan Canselor dan Pro-Canselor. Cokmar ini dibuat oleh Persatuan Seni dan Kraftangan Kelantan.

Matlamat Kami

Untuk menjadi pusat keilmuan yang terkehadapan, berteknologi dan berdaya saing yang:
- Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu;
- Membangun masyarakat dinamis dan berakhlak mulia;
- Mengantarabangsakan citra dan sumbangan UKM bagi masyarakat sejagat; dan
- Menjana teknologi yang bermanfaat kepada masyarakat.

Misi Kami

Menjadi Universiti terpilih yang memartabatkan Bahasa Melayu serta mensejagatkan ilmu beracuan budaya kebangsaan.

Visi Kami

UKM bertekad untuk menjadi sebuah universiti terulung yang menjadi pelopor inovasi dalam pembinaan ilmu pengetahuan bagi mencapai aspirasi membentuk sebuah masyarakat yang dinamik, berilmu dan berkepimpinan.

Falsafah Kami

Paduan antara Iman kepada Allah dengan ILMU yang bermanfaat serta gabungan antara teori dengan amal adalah dasar utama bagi perkembangan ilmu, proses pembinaan masyarakat terpelajar dan pembangunan Universiti.

Info Kami


Jata UKM diilham dan direka oleh Mohd. Aris bin Atan dan dipersetujui oleh YAB Tun Abdul Razak, Canselor pertama UKM yang juga Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Jata ini telah digunakan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia sejak 1973.

Jata ini kemudiannya dikemaskini dan direka semula supaya selari dengan kehendak semasa kini. Ia seterusnya dirasmikan oleh DYMM Tuanku Ja'afar Ibni Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman, Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Canselor UKM pada 29 Julai 2000.