Wednesday, October 15, 2008

Kampus Kami

Kampus Induk Universiti Kebangsaan Malaysia terletak di Bangi, kira-kira 35 km ke selatan Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia. Terletak di sebuah lembah dikelilingi dengan persekitaran menghijau, bangunan di kampus ini direkabentuk supaya selaras dengan lanskap hutan hijau yang mengelilinginya.

Kampus ini merupakan gabungan seni bina dan seni taman yang sesuai dan selaras dengan konsep "kampus dalam taman". Kampus ini direncanakan dengan pusat perkhidmatan seperti perpustakaan, pusat pelajar, pasar raya, bank dan kedai buku terletak di tengah-tengah. Lingkungan akademik dihubungi dengan perpustakaan dengan pusat akademik berdasarkan satu siri jalan kaki yang berbumbung.

Bangunan utama yang tersergam di kampus UKM ialah dewan utama, yang dinamakan Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) dan Masjid Universiti yang indah gemilang. Terletak bersetentang di pintu masuk utama universiti, DECTAR mencerminkan peranan universiti sebagai puncak kecemerlangan akademik, sementara Masjid Universiti mengingatkan penghuni universiti tentang peranan mereka sebagai hamba Allah. Kedua-dua bangunan ini menjadi bukti keteguhan universiti terhadap falsafah yang dianuti: "Paduan antara Iman kepada Allah dengan ILMU yang bermanfaat serta gabungan antara teori dengan amal adalah dasar utama bagi perkembangan ilmu, proses pembinaan masyarakat terpelajar dan pembangunan Universiti".

Fakulti Perubatan, Fakulti Pergigian dan Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu terletak di kampus Kuala Lumpur. Pada tahun 1997, UKM mempunyai sebuah hospital pengajarannya yang tersendiri yang dinamakan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) yang terletak di Cheras.

No comments: