Sunday, October 19, 2008

Mahasiswa Mahu Pilihan Raya Kampus Telus

BANGI 17 Okt. - Lebih 100 mahasiswa daripada empat universiti mengadakan demonstrasi selepas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melancarkan Karnival Kerjaya Kebangsaan 2008 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Mereka terdiri daripada penuntut empat buah universiti iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM).

Sambil memegang kain rentang yang bertulis Mahasiswa Menuntut Pilihan Raya Kampus Yang Telus dan Adil dan Membantah E-Voting, kumpulan pelajar berkenaan turut bersorak mahukan pilihan raya kampus yang bebas.

Kumpulan pelajar yang menggelarkan diri mereka Solidariti Mahasiswa Malaysia berdiri di hadapan Dewan Canselor Tun Abdul Razak UKM dan mula bersorak apabila Mohamed Khaled berjalan masuk ke dalam dewan untuk meninjau pameran karnival kerjaya dari khemah pelancaran.

Turut mengiringi Mohamed Khaled ketika itu ialah Naib Canselor UKM, Datuk Dr. Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin.

Suasana menjadi agak tegang apabila pengawal UKM menghalang mereka daripada mara menghampiri pintu masuk dewan tempat pameran kerjaya berlangsung.

Namun kehadiran sebuah kereta peronda polis yang meminta semua pihak bersurai dan bertenang dalam masa lebih kurang 15 minit selepas demonstrasi berkenaan bermula berjaya mengawal keadaan. Difahamkan tiada pelajar yang ditahan.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, Hafizuddin Abirerah yang merupakan seorang mahasiswa UM berkata, pihaknya membantah pilihan raya kampus kali ini yang tidak dijalankan serentak di semua universiti seluruh negara.

"Kami juga menolak sistem pengundian secara elektronik iaitu e-voting kerana ia tidak menjamin ketelusan.

"Demonstrasi ini tidak didalangi mana-mana pihak luar," katanya.

Sumber oleh Utusan Malaysia.

No comments: