Saturday, October 18, 2008

Kembalikan Roh Demokrasi Pilihan Raya Kampus

Pilihan raya kampus (PRK) sesi 2008/2009 ini bakal mengulangi sejarah ketika mana penulis masih menuntut di menara gading suatu ketika dahulu.

Apa yang dimaksudkan penulis adalah hanya merujuk kepada tarikhnya yang tidak serentak.

Namun dari segi pelaksanaan menggunakan sistem online atau lebih dikenali dengan sistem pengundian e-voting, tiadalah pula pengalaman yang boleh dikongsi bersama adik-adik pengundi mahasiswa sekarang ini.

Malah, suatu ketika dahulu kami menguruskan sendiri segala peralatan kempen bagi calon kami termasuklah poster, kain rentang, handbill selain risalah yang dibuat bagi memastikan kejayaan calon yang di'pasarkan' agar matlamat untuk menerajui kerajaan mahasiswa di kampus tercapai.

Kesempatan yang diambil kami sewaktu tarikh PRK tidak serentak ialah mengadakan kunjungan ke kampus yang selesai menjalani pembuangan undi bagi menganalisis situasi, serta keputusan kampus tersebut sebagai persediaan untuk menghadapi PRK di tempat kami.

Pada masa yang sama, kami turut mengambil 'semangat' dan 'pesanan' dari sahabat-sahabat dari kampus tersebut sebagai azimat penerus perjuangan, bagi mendaulatkan suara dan hak mahasiswa.

Malah, penulis juga mahu berkongsi ilmu yang perlu difahami oleh mana-mana mahasiswa yang melibatkan diri dengan PRK iaitu mendalami peraturan pilihan raya yang dikeluarkan oleh pihak universiti.

Meskipun ada yang beranggapan bahawa tuntutan atau bantahan mengenainya tidak akan diendahkan oleh pihak suruhanjaya PRK, ianya tidak sewajarnya terus diketepikan.

Inilah medannya untuk mahasiswa menyelami situasi pilihan raya kampus di luar sana.

PRK harus dikembalikan rohnya dalam bentuk yang demokrasi, tidak dibayangi oleh tradisi tetapi kebenaran.

Pejuang demokrasi kampus tidak perlu takut dengan taktik kotor oleh mana-mana kumpulan, walaupun ianya dilaksanakan secara serentak.

Suatu ketika dahulu, kumpulan pro pembangkang (kini dikenali sebagai pro mahasiswa) menang besar di kampus seluruh negara dengan pelaksanaan sistem pilihan raya secara tidak serentak.

Lalu, sekumpulan think-tank KPT dilantik kemudiannya menumpaskan mereka dengan taktik rakus dan kotor dengan mengadakan PRK secara serentak.

Justeru, mahasiswa..anda tidak perlu kaget dengan perubahan kecil ini. harus punya persediaan setiap masa agar tidak mudah melatah dan lemah dengan situasi yang dicorakkan oleh sistem.

No comments: