Wednesday, October 15, 2008

Sejarah Kami

Gagasan untuk menubuhkan sebuah universiti kebangsaan pertama kalinya dibangkitkan seawal tahun-tahun 1920an. Gagasan awal ini dibuat oleh Abd. Kadir Adabi, yang mencadangkan penubuhan sebuah universiti yang dapat memenuhi keperluan pendidikan orang Melayu dan pembangunan Bahasa Melayu (kini bahasa Malaysia).

Lewat tahun-tahun 30an, idea ini terus berkembang dan tersemat dalam sanubari orang Melayu, khususnya semasa zaman penjajahan. Namun begitu, ia diperjuangkan secara terbuka dan aktif pada tahun-tahun 40an dan 50an apabila Persekutuan Kesatuan Guru Melayu Semenanjung mendesak agar Bahasa Melayu mendapat tempat sewajarnya di negara ini dan mendesak agar tahap sekolah-sekolah Melayu ditingkatkan supaya para pelajarnya dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

Pada tahun-tahun 60an, permintaan ini diulangi dan perbincangan terbuka diadakan. Sekumpulan intelek Melayu telah berkumpul untuk membincangkan gagasan bagi sebuah universiti kebangsaan, bukan sahaja bagi keperluan orang Melayu tetapi keperluan rakyat Malaysia. Idea ini diterima dengan baik oleh semua pihak. Sejak itu, permintaan rakyat mula mendapat perhatian sewajarnya.

Pada tahun 1969, sebuah jawatankuasa penaja telah ditubuhkan dan menerbitkan sebuah laporan yang mengesyorkan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia. Laporan itu membentuk asas universiti ini. Kebanyakan daripada syor diterima sebagai garis panduan dalam penubuhan rasmi universiti ini pada 18 Mei 1970.

Maka, kelahiran universiti ini merupakan peristiwa yang sungguh bersejarah. Ia dibina atas keringat dan pemikiran rakyat yang mempunyai visi tentang keperluan universiti ini. Kejayaan yang universiti ini telah capai sejak dari awal penubuhannya membuktikan kejayaan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di peringkat universiti dan ini tidak dapat disanggah oleh sesiapapun.

No comments: