Friday, October 17, 2008

UKM Anjur Karnival Kerjaya Kebangsaan 2008

Tahun ini, Universiti Kebangsaan Malaysia Malaysia (UKM) menjadi penganjur bagi Karnival Kerjaya Kebangsaan 2008 yang akan berlangsung pada 17-19 Oktober 2008 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) dan Dewan Gemilang.

Karnival pada tahun ini menyediakan pelbagai aktiviti kepada mereka yang mencari peluang pekerjaan. Antara aktiviti untuk karnival tiga hari ini adalah pameran kerjaya oleh syarikat-syarikat terkemuka negara, temuduga terbuka dan temuduga berjadual dengan syarikat berdaftar, bengkel keusahawanan, ceramah dan seminar kerjaya, ceramah motivasi oleh badan korporat dan kerajaan terkemuka, analisis psikometrik, inventori EQ serta peluang melanjutkan pengajian dari pelbagai kolej dan universiti awam dan swasta. Terdapat lebih 8000 peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh lebih 100 syarikat.

Antara syarikat yang berdaftar sebagai peserta yang juga merangkap penaja karnival adalah Sime, Shell, CIMB, Huawei, Masterskill, SME Bank, MCIS Zurich, Astro, Perfisio, Roots Asia Pacific, KTM dan Bix Connexion. Syarikat-syarikat lain yang telah berdaftar adalah Petronas, ExxonMobil, Intel, Dell, IBM, Scope International, Bank Negara, Bank Rakyat, Scomi, MISC, Skali, AXA, Khazanah Nasional, HSBC serta pelbagai MNC dan GLC lain. Turut menyertai karnival ini adalah Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), MERCY dan pelbagai universiti awam dan swasta.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, karnival tahun ini adalah hasil inisiatif dari Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia untuk menyediakan maklumat dan peluang kerjaya kepada para pelajar serta masyarakat awam. Karnival ini berfungsi sebagai medium untuk mendapatkan informasi tentang set kemahiran yang diperlukan dalam pasaran kerjaya. Seminar kerjaya yang dianjurkan memberi penekanan kepada isu-isu seperti kemahiran berkomunikasi, penyediaan resume, kemahiran temuduga serta pelbagai isu lain yang penting. Seminar-seminar diadakan bertujuan meningkatkan peluang pasaran kerjaya di Malaysia. Bengkel keusahawanan oleh SME Bank dan Johor Corporation adalah terbuka kepada pelajar dan orang awam yang ingin membina perniagaan sendiri. Ceramah motivasi pula memberi ruang kepada para penceramah jemputan yang terdiri daripada tokoh-tokoh sektor awam dan korporat untuk berkongsi pengalaman peribadi mereka bagi memberi inspirasi dan motivasi kepada audien.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.ukm.my/ncc2008.

No comments: