Saturday, October 18, 2008

Serah Laporan Penyelewengan PRK Kepada DSAI Di Parlimen

Perjuangan membabitkan masa. Masa yang berlalu telah menjadi suatu sejarah. Dan, kerana itulah sejarah menjadi suatu bab yang amat mustahak dalam lembaran perjuangan siswa itu sendiri. Tetapi, berapa ramaikah dalam kalangan kita yang sesekali menoleh ke belakang dan membuka kitab sejarah?

Ada waktu-waktunya, masa-masanya yang tertentu, perjuangan seolah-olahnya mati. Jadi dengan sebab tiada tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai satu perjuangan, justeru masa yang berlalu itu tidak boleh diiktiraf sebagai sejarah perjuangan pula.

Tapi, setiap perjuangan apa pun pastinya ada ketua. Pada setiap zaman, mesti ada kepala yang berani menongkah arus pemikiran. Dari satu sudut, jika mereka cuma mengucapkan hal-hal yang tidak bersifat idea baru, maka hal tersebut tidak menjadi perbualan sangat. Pemimpin sejati adalah peneraju yang mampu meneroka daerah idea yang baru.

Yang ada sekarang ini adalah MPP dan mereka bukanlah pemimpin atau ketua.

Idealisme ada kaitan yang kuat dengan idea. Idealisme ada kaitan dengan pengertian ideal dan mahasiswa memang begitu. Selalunya serba ideal kerana mereka bagaikan bayi yang baru lahir dari syurga. Di syurga, segala-galanya serba lengkap dan sempurna.

Tiada salahnya jika mahasiswa itu menjadi terlalu ideal kerana sifat itu memang kurniaan dari Tuhan. Mereka baru datang dari syurga dan telah menerima kejutan budaya di dunia yang kini dihuni bersama penghuni neraka dan penghuni syurga.

Dunia yang asalnya berwajah syurga, kini sobek sedikit wajahnya kerana dirosakkan oleh ahli-ahli neraka di dunia hari ini. Perang-perang terjadi kerana wujudnya ahli-ahli syurga dan neraka di dunia. Maka, di akhirat kelak mereka terpisah dan perang akan tamat.

Idealisme pelajar, generasi baru, bayi-bayi yang suci bersih dari syurga telah mengalami kejutan budaya di dunia hari ini. Mereka tidak pantas melihat ketidakadilan berlaku serta jiwa mereka langsung bangkit mempersoal bagaimana ketidakadilan itu boleh terjadi.

Ini perkara biasa. Mereka masih suci dan belum tahu apa-apa tentang kejahatan ahli-ahli neraka di dunia ini. Jadi, selagi mana mereka wujud bersama di dunia, perang akan tetap berlaku. Salah satu perang yang tidak menjatuhkan darah ialah perang universiti.

Tapi kita bukannya mahu berbual mengenai ahli neraka. Sengaja kita menulis begini agar setidak-tidaknya kita faham mengenai beberapa perkara. Kenapa pelajar selalu mencipta chaos, pergeseran, percekcokan terhadap HEP, KPT dan kerajaan?

Sebenarnya, tidak tepat kalau kita katakan mereka bercita-cita mencipta pergeseran. Dan, yang sebenarnya berlaku adalah, naluri dan fitrah mereka yang inginkan kedamaian, tidak suka penipuan itulah yang merangsang agar pergeseran itu terjadi secara semulajadi.

Semua ini ada kaitan dengan ketidakadilan. Kezaliman itu sifat ahli-ahli neraka. Zalim itu adalah ramuan Auku dan resipi dalam membebalkan lagi pemikiran mereka dan akhirnya, budaya bebal, bodoh dan penakut itu menjadi kekal sebagai satu sifat turun-temurun.

Di mana laporan penyelewengan PRK?

Baiklah, kita kembali kepada masa-masa dahulu yang telah dirangkum maknanya sebagai sejarah. Antara sekian banyak demonstrasi, memorandum demi memorandum yang telah dikeluarkan, ada suatu perkara yang barangkali telah dilupakan mahasiswa hari ini.

Sekitar 2006 atau 2007, telah keluar suatu laporan mengenai tindakan dan amalan HEP di universiti yang mengugut dan mengancam calon-calon pro pelajar daripada bertanding di dalam pilihan raya kampus. Soalan seterusnya, di manakah laporan itu sekarang?

Mungkin generasi baru terlupa kerana tidak tahu sejarahnya dan lupa menyemaknya berulangkali. Laporan itu merangkumi beberapa buah universiti, UKM, UPM, UiTM dan sebagainya. Mungkin, ada juga laporan itu tercicir dan tidak menyebut gangguan itu pada universiti lain. Ini mungkin hal teknikal dan itu tidak bermakna, gangguan itu tiada.

Sepatutnya pada setiap tahun, laporan mengenai gangguan HEP, KPT ke atas calon-calon itu ditulis dan terus dihantar kepada Pengerusi Dewan Rakyat, Ketua Pembangkang serta salinan lainnya kepada Perdana Menteri, wakil KPT di Parlimen dan MP-MP lainnya.

Tapi sejauh yang saya tahu, hal itu cuma dihantar kepada KPT sahaja dan matlamat untuk dibacakan laporan penyelewengan itu dalam Dewan Rakyat tidak kesampaian. Bagaimanapun, hal penyelewengan itu tetap sampai kepada Suhakam.

Dalam perbualan peribadi antara saya dengan Dato' Hamdan Adnan dahulu, ketika beliau masih menjadi pesuruhjaya Suhakam, ternyata memang ada kesungguhan dan usaha dari Suhakam sebagai pemantau PRK. Tapi, HEP tidak mengizinkannya berlaku.

Soalan seterusnya, adakah pelajar masih mahu Suhakam menjadi pemantau PRK?

Suhakam juga, melalui usaha Dato' Hamdan, itu telah memanggil para pegawai universiti seperti TNC untuk hadir menjawab terhadap laporan penyelewengan yang telah diberikan oleh golongan mahasiswa tersebut.

"Tapi, mereka cuma hantar pegawai-pegawai bawahan sahaja yang tidak boleh membuat sebarang keputusan dan memberikan maklumbalas terhadap laporan penyelewengan itu," katanya. Tindakan ini, tentunya, seperti kata beliau, telah mempersendakan Suhakam.

Pegawai rendah itu hanya ketawa dan tersengih-sengih, memperolok-olokkan Suhakam ketika diminta menjawab beberapa isu yang dibangkitkan beliau ke atas laporan itu.

Tapi, kisah tercorot seperti ini, berapa ramaikah pelajar yang pernah mengetahuinya?

Soalan terakhir, bolehkah saudara mencari laporan penyelewengan PRK terdahulu dan beri kepada Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk dibacakannya di dalam Parlimen dalam tempoh terdekat ini?

Serah laporan penyelewengan PRK kepada DSAI

Dalam kenyataannya yang lalu, DSAI berkata kepada saya bahawa ketika beliau menjadi Menteri Pelajaran, beliau telah merangka satu draf berhubung akta pelajaran yang baru.

"Semua draf itu saya serahkan kepada beberapa pertubuhan bukan kerajaan untuk dibahas supaya dapat diambil maklumbalas mengenainya.

"Draf itu jika boleh dibawa ke Parlimen, maka ia akan membatalkan segala akta pelajaran yang lalu termasuklah Auku," demikian kata beliau.

"Jadi, di mana draf akta itu sekarang?" tanya saya kembali.

"Ketika polis menceroboh rumah kerana mahu tahan saya dalam ISA, segala-galanya dah hilang," kata beliau. "Mereka dah ambil semua catatan lama itu."

Syahadan, dengar kata, baru-baru ini beliau berbahas mengenai Belanjawan 2009 selama 5 jam. Panjang perbahasannya itu, penuhlah dengan sindiran, demikian laporan RTM dan sedikitpun tidak disiarkan ucapan perbahasan Anwar itu di tv. Saya jadi kaciwa.

Esoknya Berita Harian melaporkan ramai MP Parlimen BN keluar masuk Parlimen ketika Anwar sedang berucap. Seolah-olahnya mereka bosan mendengar perbahasan beliau. Tak apalah, nak buat macam mana? Suratkhabar itu macam mak bapak depa yang punya.

Arakian, kalaulah beliau mampu berbahas 5 jam dalam isu belanjawan itu, jangan-jangan beliau dapat bertahan hingga 10 jam kot bagi membincangkan hal usahanya membatalkan Auku dengan memperkenalkan undang-undang pendidikan yang baru itu?

Mungkin, dengan berbekalkan laporan itu juga, beliau boleh menyindir Mat Hussin, Idris Haron dan ramai lagi para pegawai HEP di universiti. Jika nasib baik, RTM akan siarkan ucapan itu jika 'dendam' Shabery Cheek akibat kalah debat tempoh hari telah kebah!

15 Syawal, 4:28 petang
Sekolah Pemikiran Kg Baru.

No comments: